![]() |
| Oblivion I | Batu Arang, Selangor. 2023 |
![]() |
| Oblivion II | Papan, Perak. 2023 |
![]() |
| Oblivion III | Kuala Selangor. 2023 |
![]() |
| Oblivion IV | Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur. 2023 |
![]() |
| Oblivion V | Ayer Baloi, Johor. 2023 |
![]() |
| Oblivion VI | Ayer Baloi, Johor. 2023 |
![]() |
| Oblivion VII | Changkat Lada, Perak. 2023 |
![]() |
| Oblivion VIII | Papan, Perak. 2023 |
![]() |
| Oblivion IX | Pontian Kechil, Johor. 2020 |
Sejarah itu berjejak.
Di sebalik tamadun yang berkembang, rumah yang pernah dihuni dan setiap kehidupan yang pernah dilalui, sentiasa ada sesuatu yang ditinggalkan.
Tempat-tempat yang sunyi, bangunan yang semakin mereput, landskap yang kembali dikuasai alam, serta objek-objek yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan.
Di dunia, tinggalan ini hadir dalam pelbagai bentuk dan saiz. Ada yang berupa sebuah kampung kecil yang lenyap daripada ingatan.
Ada yang merupakan kota besar yang kehilangan penghuninya. Ada juga sekadar sehelai pakaian, sebuah kerusi usang, atau barang peribadi yang masih setia menunggu tuannya yang tidak akan kembali.
Ada yang ditinggalkan akibat bencana alam. Gempa bumi, banjir, letusan gunung berapi dan perubahan iklim mengubah lanskap serta memisahkan manusia daripada tempat yang pernah dipanggil rumah.
Ada pula yang menjadi mangsa peperangan, konflik, pergolakan politik dan keruntuhan ekonomi. Namun, tidak semua yang ditinggalkan lahir daripada tragedi.
Ada yang ditinggalkan kerana masa terus bergerak, sementara manusia memilih untuk berpindah dan memulakan kehidupan di tempat yang baharu.
Apa jua sebabnya, setiap tempat yang ditinggalkan seolah-olah menyimpan sisa-sisa ingatan.
Dindingnya masih menyimpan gema suara yang telah lama hilang. Tingkapnya masih memandang dunia yang telah berubah. Setiap rekahan, setiap debu, setiap kesan reput menjadi saksi kepada perjalanan masa yang tidak pernah berhenti.
Berada di ruang-ruang ini sambil memegang kamera menghadirkan suatu perasaan yang sukar diterjemahkan. Kesunyian di tempat-tempat ini bukan sekadar ketiadaan manusia, tetapi seolah-olah memperlihatkan bagaimana masa perlahan-lahan memadamkan kewujudan.
Di sinilah saya merasakan makna oblivion itu bukan sebagai pengakhiran, tetapi sebagai proses yang berlaku sedikit demi sedikit sehingga segala-galanya akhirnya hilang daripada ingatan.
Sejak beberapa tahun lalu, saya berkembara ke tempat-tempat yang telah ditinggalkan untuk merakamkan sisa-sisa kewujudannya. Projek dokumentari ini dihasilkan menggunakan kamera filem medium format, yang saya anggap satu cara menuntut kesabaran, pemerhatian dan pengamatan terhadap setiap ruang yang dirakam. Setiap bingkai menjadi usaha kecil untuk mengekalkan memori sebelum ia terhapus oleh masa.
Mungkin fotografi tak mampu menghidupkan kembali tempat-tempat ini. Namun, sekurang-kurangnya ia mampu menjadi bukti bahawa suatu ketika dahulu, ada satu kehidupan yang pernah berlegar.
Dan sebelum semuanya benar-benar lenyap, saya berharap ia dapat kekal dengan usaha kecil ini
Insya-Allah.









Comments
Post a Comment