ARTIKEL - Festival Kongsi.Seni Edisi Pertama

Ruang sunyi yang menyimpan memori

BUKAN sekadar mempamer gambar, tetapi setiap sudut ruang yang senyap itu sebenarnya menyelami kisah dan cerita seseorang.


Persembahan sebuah pameran fotografi dokumentari, Festival Kongsi.Seni  selama 17 hari di Art Depot, Balai Seni Negara awal November lalu mencorak sejarahnya yang tersendiri dengan gabungan rekaan seni bina, penataan bunyi, dan visual yang dirancang untuk memberikan pengalaman yang mendalam dan menyeluruh kepada para pengunjung.


Setiap sudut pameran direka untuk membawa pengunjung menelusuri pelbagai naratif dokumentari melalui karya fotografi yang dipersembahkan dengan binaan seni bina tersendiri. 


Pengalaman ini diperkaya lagi dengan elemen bunyi dan visual imersif, mencetuskan imaginasi serta membuka sudut pandang baharu terhadap dunia seni dokumentari.


Festival Kongsi.Seni menghimpunkan empat penasihat pameran dan festival, 37 karya dan 36 artis dari empat buah negara (Malaysia, Singapura, Indonesia dan Croatia), menjadikannya sebagai sebuah ruang pertemuan antara seni, teknologi dan interaksi manusia.


Peserta bersama barisan penasihat dan kurator untuk sesi ‘editing and sequence’ dalam Festival Kongsi.Seni di Art Depot, Balai Seni Negara. 

Berlangsung sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026), festival itu turut menjadi agen dan pemangkin dalam mempromosikan keunikan artistik tanah air, seiring usaha memartabatkan seni visual Malaysia di pentas antarabangsa.


Penganjuran Kongsi.Seni disokong oleh Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK 2025)di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Art Depot, Balai Seni Negara sebagai penaja lokasi rasmi.


Majlis perasmian dan pembukaan rasmi festival disempurnakan oleh Kurator Balai Seni Negara di bawah Cawangan Pembangunan Usahawan dan Industri (Art Governance), Muhammad Hazrin bin Abdul Malek @ Moktar pada 1 November lalu. 


Meskipun menampilkan tiga tema berbeza, iaitu ‘Kepunyaan’, ‘Malaysiana’ dan ‘Kongsi.Budaya’, ia sebenarnya saling berkait antara satu sama lain.


 Pengunjung melihat karya peserta yang mengambil bahagian dalam Festival Kongsi.Seni di Art Depot, Balai Seni Negara.

 Sebahagian daripada karya yang dipamer dalam Festival Kongsi.Seni di Art Depot, Balai Seni Negara.

Bukan hanya melihat, tetapi merasa

Kurator festival, Syaiful Redzuan Md Noor menjelaskan festival kelolaanya itu bukan hanya mementingkan pengunjung untuk sekadar melihat hasil kerja yang dilekat di dinding-dinding, tetapi berupaya untuk merasa dan mendengar sendiri emosi sesebuah gambar.


“Walaupun ia sekadar foto, tetapi kita tahu foto itu hidup. Gambar-gambar yang dipamerkan kebanyakan penuh dengan tanda tanya, kenapa begitu dan begini? Kenapa hitam putih, berwarna, tidak jelas dan sebagainya.


“Supaya bila orang ramai tengok gambar itu, mereka tertanya-tanya. Selalunya bila tengok gambar cantik, kita akan buat ‘close conversation’. Oh ada pantai, ada gambar matahari terbenam, ada nelayan, jadi habis disitu.


“Kita sudah terbiasa dengan pameran fotografi yang hanya mempamerkan gambar-gambar yang cantik,” katanya.

Ada ruang yang seolah-olah bernafas, festival itu sebenarnya bukan semata-mata tentang bidikan gambar, tetapi ia kisah suasana, memori dan rasa yang wujud antara satu imej ke imej yang lain.

Festival Kongsi.Seni bukan sekadar himpunan gambar, ia seperti album kenangan yang tidak ditulis atau hal-hal ringkas ringkas yang ternyata memberi satu pengalaman.

Seni bukan untuk difahami sepenuhnya, tetapi untuk menjadi peneman buat seketika, mengajar kita erti berkongsi walaupun sekadar buat diri sendiri.

Penganjur dan kurator, Syaiful Redzuan Md Noor (kiri) ketika diemuramah oleh sebuah agensi berita dalam Festival Kongsi.Seni di Art Depot, Balai Seni Negara. 

Harapan

Meskipun mendapat dana sokongan daripada Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) MOTAC, jauh di sudut Syaiful bahawa dia masih berharap agar festival seni dan pameran yang seangkatan mengangkat martabat industri seni negara diberikan perhatian dan dukungan dalam bentuk dana sebagai kesinambungan program.


Jelasnya, Festival Kongsi.Seni akan menjadi satu medan yang berperanan mencungkil bakat ‘storytellers’ Malaysia bersaing sihat dengan pengkarya dari luar dan seterusnya mengangkat industri foto tanah air ke persada dunia.


“Festival ini sedikit sebanyak dapat melatih para pengkarya untuk keluar daripada zon selesa serta melatih diri agar lebih peka, berfikiran secara kritis dan lebih kreatif dalam menterjemahkan nilai artistik melalui penyampaian yang memerlukan ekspresi,” katanya.


Syaiful tidak menolak kemungkinan Festival Kongsi.Seni dijadikan acara tahunan dengan tema yang lebih segar, serta menampilkan barisan artis bersama karya yang lebih menarik dan sarat makna.





 


Comments