Sekitar tahun 2008, saya ke Flat Pekeliling, atau nama rasminya Pangsapuri Tunku Abdul Rahman. Kalau ikut info, flat ni kiranya projek perumahan awam terawal dan paling ikonik di Kuala Lumpur yang dibina antara tahun 1964 -1967 gitu.
Lokasinya di Jalan Tun Razak dan Jalan Pahang, ada 11 blok, lebih kurang 3,000 unit yang ada.
Sepanjang beberapa dekad, Flat Pekeliling lah tempat tinggal bagi ribuan warga kota daripada golongan berpendapatan rendah dan bekas penduduk setinggan.
Bagaimanapun, seiring dengan peningkatan usia bangunan, kawasan ini mula mengalami kemerosotan dari segi penyelenggaraan dan imej luaran. Tahun 1990-an gitu mula lah timbul pelbagai masalah sosial dan jenayah, menjadikannya kelihatan suram di tengah tengah kepesatan pembangunan pencakar langit di sekelilingnya.
Hal ini akhirnya membawa kepada keputusan kerajaan untuk mengosongkan kawasan tersebut demi keselamatan penduduk untuk perancangan pembangunan semula.
Bermula tahun 2006 bila ia mula dirobohkan.. penduduk dipindahkan ke kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang disediakan. Menjelang akhir tahun 2015, keseluruhan bangunan Flat Pekeliling telah diratakan sepenuhnya, makanya tamatlah kisah mercu tanda bersejarah di peta Kuala Lumpur.
La ni tapak asal flat dah jadi projek pembangunan bercampur Taman Sari dan hab pengangkutan MRT Titiwangsa, tapi memori tentang kehidupan di "Sap Chat Lau" tetap kekal dalam lipatan sejarah urbanisasi Malaysia bagi mereka yang sempat duduk situ dulu.






Comments
Post a Comment